kehidupan...
DUGAAN KEGAGALAN SETELAH BERUSAHA
Di dalam menjalani liku-liku kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan daripada Allah Taala. Ujian yang datang tidak kira masa dan siapa sudah tentulah tersembunyi segala hikmah dan akan menjadikan diri kita lebih kuat.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(Surah al-Anbiya: Ayat 35).
Setelah kita penat berusaha bersungguh-sungguh untuk memilih kebaikkan dan kejayaan, sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya, kita disarankan untuk berdoa memohon diperkenan daripadaNya. Ini kerana Allah Taala sentiasa mendengar segala permohonan dan rintihan hamba-hambaNya.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqarah: Ayat 186).
Walaubagaimanapun, kadang-kala apa yang kita doa dan pohon tidak semestinya diperolehi dan dimakbulkan pada ketika itu. Jika berlaku perkara ini, kita perlulah berbaik kepada konsep mengimani Qadha dan Qadar iaitu:
- Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala yang berlaku di dunia ini samada ia sesuatu kebaikkan ataupun keburukkan.
- Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini walaupun kita diberikan pilihan untuk berusaha bersungguh-sungguh.
- Menyedarkan bahawa hakikat manusia itu lemah dan perlu kepada Allah Taala.
- Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
Selain itu, dugaan juga datang bersama tujuan dan hikmah yang tersembunyi. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara itu berlaku. Hikmah itu pula kadang-kala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita.
Firman Allah Taala bermaksud:
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
(Surah al-Mulk: Ayat 2).
No comments:
Post a Comment